Kita lebih suka dicintai. Kita lebih suka disayangi. Kita lebih suka dikasihi.
Kerana kita akan menjadi seperti raja. Dicurahkan segala-gala daripada manusia yang menicntai, menyayangi dan mengasihi kita.
Namun tak ramai antara kita yang suka menjadi yang mencintai.
Mengapa?
Kerana di situ ada satu perkara yang besar perlu kita lakukan.
Ia bernama Pengorbanan.
Jika benar cinta, maka pengorbanan perlu ada.
Bukanlah pengorbanan di sini semata-mata bermaksud: “Sanggupku redah gunung everest, merentas lautan api, mencari permata berkati-kati”.
Pengorbanan masa dan waktu, pengorbanan rasa dan kehendak, pengorbanan harta dan benda. Mungkin enam perkara daripada tiga jenis kumpulan ini adalah yang paling akan perlu dikorbankan apabila menjadi seorang pencinta.
Jika benar cinta, maka anda akan perlu mengorbankan enam perkara dari tiga kumpulan ini.
Jika tidak, saya cakap satu perkara kepada kita semua.
Kita adalah pembohong dalam cinta kita.
Pengorbanan-pengorbanan bukan semudah tulisan dan bicara
Cakap semua orang boleh. Tulis memang senang. Tetapi melakukannya adalah satu perkara yang berada di dimensi lain.
Jika anda benar cintakan seseorang manusia. Contohnya, pasangan anda. Maka pastinya anda perlu mengorbankan masa-masa dalam hidup anda untuk memberikan perhatian yang lebih kepadanya, berfikir akan kebaikan yang perlu anda lakukan kepadanya. Saat-saat dia memerlukan anda, memerlukan bantuan dan tangan, anda kena korbankan masa dan waktu anda. Waktu-waktu anda akan ‘dimakan’ apabila wujudnya seseorang yang perlu anda perhatikan dan fikirkan. Anda bohong dengan cinta anda, sekiranya anda bukan yang berkorban dengan masa dan waktu anda.
Kalau benar cinta, kita akan korbankan kehendak dan rasa kita. Mungkin kita hendakkan sesuatu itu, tetapi kita kena korbankan kerana orang yang kita cintai membencinya. Mungkin kita rasa bengang dan marah akan sesuatu, tetapi kita kena korbankan kemarahan kita agar tidak menyakiti orang yang kita cintai. Tidak begitu?
Kalau benar cinta, kita akan sanggup berhabis harta dan benda yang kita ada untuk orang yang kita cintai. Hal ini kerana, kita mahu orang yang kita cintai itu berada dalam kondisi yang paling bahagia sekali. Maka kita akan belikan dia hadiah, hadiahkan dia sesuatu yang istimewa. Dan apabila dia memerlukan bantuan, kita sanggup korbankan apa sahaja yang ada dalam tangan kita untuk membantunya. Tidakkah begitu?
Dan inilah dia mahar cinta. Tidak kiralah dengan pasangan, dengan rakan-rakan, dengan ibu bapa, adik beradik, atau dengan sesiapa sahaja sekalipun. Selagi dia manusia, kita tetap perlu mengorbankan perkara yang sama, jika kita benar dengan cinta kita.
Apa yang menakutkan adalah, belum tentu cinta ini berbalas.
Namun, ketakutan itu akan terpadam apabila kita membina cinta kita atas dasar yang benar.
Acuan Allah, siapakah yang acuannya lebih baik dari acuan Allah?
Sekiranya, perjalanan kita menjadi pencinta, kita mulakan dengan menjadi pencinta kepada Allah SWT, maka kita akan merasakan semua cinta-cinta kita kepada manusia lain tadi terbalas. Walaupun manusia-manusia itu tidak membalasnya.
Kita perlu yakin, Allah membalas cinta-cinta kita tadi.
Maka, pertamanya, perlulah cinta kepada Allah itu kita bina. Sekarang, kita balik kepada formula asal kita tadi. Kalau cinta, pastinya ada pengorbanan. Bagaimanakah kita dengan Allah SWT?
Apakah pengorbanan kita kepadaNya?
Ahah!
Kita suka Allah sayang kita, tetapi kita….?
Kita suka Allah bagi rahmat. Kita suka Allah bagi keberkatan. Kita suka Allah bagi kita banyak nikmat. Walaupun mungkin kita tak boleh kata “Allah dah banyak berkorban untuk kita” sebab Allah itu tak akan ada kekurangan dan kepayahan untukNya(menyebabkan perkataan ‘korban’ adalah sesuatu yang tidak layak untuk Allah), tetapi yang nyata, Allah telah memberikan kita pelbagai perkara, dan tidak cukup dengan itu, menjanjikan kita baaaanyak perkara.
Maka kita?
Jika benar cintakan Allah.
Maka hendak menjadi pencinta kepada Allah juga perlukan pengorbanan. Dan kita perlu korbankan perkara yang sama juga. Enam perkara dari tiga kumpulan tadi.
Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan korbankan masa kosong dan masa bermain-main kita untuk kita isi dengan mencari keredhaanNya, untuk kita isi dengan ibadah kepadaNya, untuk kita isi dengan melakukan kerja-kerja yang membawa kepadaNya. Kalau benar kita cintakan Allah SWT, kita tidak akan kisah waktu-waktu yang berlalu dalam mengejarNya, melakukan perintahNya, melaksanakan arahanNya. Kalau benar kita cinta kepada Allah. Namun berapa banyak masa dan waktu kita telah kita korbankan untukNya?
Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan berusaha untuk korbanakn rasa dan kehendak kita. Kita akan korbankan rasa hendak berbuat dosa, rasa nak ikut hawa nafsu, rasa seronok dengan maksiat dan kemungkaran. Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan berusaha untuk supress kehendak kita kepada perkara yang dilarang olehNya, kehendak kita hendak mengikuti musuh-musuhNya, kehendak kita untuk sekadar berseronok semata-mata di atas dunia. Namun, berapa banyak rasa dan kehendak kita telah kita korbankan untukNya?
Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan mengorbankan harta kita di atas jalanNya. Kita akan sanggup berusaha membantu agamaNya dengan harta kita. Kita akan planning harta kita biar ada sebahagian peratus yang tumpah ke jalanNya secara khusus, selain turut tumpah ke jalanNya secara umum dalam membentuk keluarga dan mengisi perut kita.
Persoalannya, apakah kita sudah berkorban?
Kita takut, sebab kita tak ada Dia.
Hubungan yang rapuh dengan Allah SWT adalah punca kita mengalami ketakutan untuk menjadi pencinta kepada manusia. Ketakutan ini yang menimbulkan kerisauan dan kegelisahan di dalam diri kita. Menjadikan kita seorang yang prejudis dan kering. Kita tidak berani mencinta. Sedang cinta adalah satu-satunya air yang wujud untuk membasahi hati kita.
Orang yang cintakan Allah, dia akan mencintai manusia lain.
Contoh terbaik saya adalah Rasulullah SAW. Siapakah yang lebih mencintai Allah berbanding baginda? Dan lihatlah bagaimana baginda mencintai manusia.
Penutup: Jadilah pencinta, hati kamu akan bahagia.
Maka jadilah pencinta. Belajar berkorban.
Kita mungkin takkan dapat balasan yang setimpal dari manusia. Di dunia pun, mungkin kita akan sukar ‘nampak’ balasan untuk kita daripada Allah SWT. Tetapi percayalah dengan yakin, Allah membalas cinta-cinta kita kepada manusia juga, selain membalas cinta kita kepadaNya.
Memang sukar hendak berkorban kepada ‘yang kita tidak nampak’.
Memang sukar hendak berkorban kepada manusia yang mungkin tidak membalas.
Tetapi kebahagiaan-kebahagiaan dalam menjadi pencinta itu, melebihi segala-gala. Ia melembutkan hati, mendamaikan jiwa, membentuk peribadi, dan meluaskan pemikiran akal. Semua itu melebihi kesakitan dan penderitaan di atasnya.
Cinta kepada manusia, yang dibina di atas cinta kepada Allah, ia akan memberikan kekuatan berkali ganda kepada kita.
Segala senyuman akan kita hargai, segala kebaikan akan membuatkan jiwa kita lapang, segala ketenangan membuatkan hati kita tenang. Oh, bahagianya.
Tidakkah tidak mendapat semua itu, membuatkan hati kita sunyi?
Jadilah pencinta. Belajarlah berkorban. Kamu akan memahami.
Jadilah cinta, dengan menitiskan air pengorbanan dalam kehidupanmu
0 butterflies: